Sunday, November 30, 2008

Atmosfera politik semasa menghadiahkan ruang kepada individu berkepentingan untuk memberi komentar mereka. Dalam keadaan sebegini tegang, wujud individu berkepentingan muncul menjadi hero, konon-kononnya.

Aku menghadkan skop penulisan aku dari menyentuh sebarang hal yang bersangkut dengan politik. Jika ada pun drama politik, hanya mungkin individu tertentu sahaja yang faham memandangkan aku menyembunyikan maksud sebenar dibalik patah-patah perkataan.

Bukan kerana polisi tidak campur tangan aku, tetapi kerna aku merasakan sudah terlalu ramai penulis yang berorientasikan politik. Apatah lagi aku masih tidak khatam tentang ilmu politik semasa.

Aku salute juga kepada penulis muda yang lantang berbicara hal politik. Sudah pastinya bukan sesuatu yang mudah. Penulis yang bagus ialah mereka yang jujur menulis tidak kira apa jua orientasi atau kiblat penulisan mereka kerna dari kejujuran itu sudah pasti menzahirkan keberanian.

Individu yang berani tidak semestinya jujur namun mereka yang jujur ketika menyulam bait kata-kata sudah pastilah individu yang berani.

Kalau semua jadi Polis, siapa pula jadi penjenayahnya. Keseimbangan itu adalah fitrah sebuah kehidupan.

Isu ketuanan melayu yang kadang-kadang terpacul keluar dari mulut busuk yang berkepentingan sering mengundang persepsi buruk kepada mereka yang tidak mengerti. Ketuanan pada pemahaman aku bukanlah ketuanan antara tuan dan hamba tetapi sebaliknya hanyalah simbolik kepada sebuah gagasan, iaitu penghormatan dan kesepakatan yang terjalin antara tuan tanah dengan imigran asing atau dalam bahasa kasarnya pendatang.

Kesepakatan ini telah lama terjalin serta difahami oleh masyarakat terdahulu. Jika terlalu dambakan keseimbangan, aku kira para pemata sepet ini sudah sedia maklum akan keseimbangan yang terbentuk hasil percampuran majmuk ini.

Orang melayu tidak mendominasi segala-galanya ditanah sendiri, yang tinggal hanya kuota politik semata-mata. Hak politik, hak untuk mengemudi tanah sendiri biarlah dikekalkan kepada tuan empunya tanah.

Cukuplah ehsan dan keredhaan orang melayu membiarkan kamu berekonomi, berdagang sehingga membentuk sebuah paksi yang orang melayu sendiri mustahil untuk terobos. Dasar ekonomi baru pun masih belum mencapai matlamat yang asal.

Kamu sudah kaya maa!!

Orang melayu sanggup jual tanah sebab kamu terlampau berduit dan duit itu melemahkan jiwa orang melayu yang sedia layu. Seimbang bukan? Sekurang-kurangnya, kamu sudah mendominasi ekonomi.

Politik jangan sentuh, orang melayu ni sensitif!!!

Menyentuh dasar ketuanan melayu dianggap mencabar kedudukan kuasa Sultan. Mencabar Sultan, kamu membangkit emosi amuk orang melayu. Apatah lagi dalam konteks Malaysia ini, ramai beranggapan Melayu itu Islam, Islam itu Melayu.

Jika sebut pasal Islam, sudah tentu Jihad terpacul keluar dari mulut Pak Munawe dikampung Pisang.

Telaah balik segala kata-kata yang kamu udarakan sebelum ini. Jika dasar ketuanan Melayu itu menggatalkan celah punggung kamu maka jangan salahkan orang melayu untuk memberi reaksi yang bukan-bukan. Jadi, jangan nyalakan api yang masih belum padam, janganlah acah-acah simbah petrol. Terbakar betul nanti, mana anak cucu kamu nak lari!

Pak Munawe sudah khabarkan kepada pemuda kampung untuk bersedia. 30 buah bas sudah 'standby'.

Jika orang melayu sehingga kini masih boleh bertoleransi, mengapa tidak kamu. Sedangkan kamu tidak dikenakan apa-apa sekatan. Pergilah berniaga jual tauhu tepi jalan, 'mat pau' melayu tak datang pun kacau. Bikin sebuah lagi kopitiam macam Pak Li Kopitiam, orang melayu boleh datang lepak ramai-ramai.

Masalahnya sekarang, akan ada seekor dua Beruk yang akan cuba untuk menjadi hero. Dalam diam, Beruk ini membaling kulit pisang dicelahan masyarakat. Bila ada yang tergelincir, boleh jadi penyelamat, boleh jadi 'cicak man', untung-untung dapat Fasha Sandha.

Apa yang ada kini hargailah, bukan hanya kamu tetapi juga kepada saudara sebangsa aku sendiri. Dikala kita dikelilingi oleh negara-negara jiran yang bertelagah, berkeadaan tegang. Tidakkah kita wajar menghargai keamanan yang kita ada?

Keamanan itu bukan sesuatu yang senang untuk diraih, bukan boleh dijumpa ditepian pantai dan tidak pula diwarisi, sebaliknya menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkannya sehabis daya.

Daripada kamu terus mencari idea untuk menzahirkan impian gagasan kamu atau agenda tersembunyi individu berkepentingan, ada baiknya kita usahakan, kita jalinkan kesepakatan dan kesefahaman yang jitu antara satu dengan yang lain. Kita kembalikan semangat muhibbah yang pernah terjalin dahulu.

Aku juga mengharap agar saudara sebangsaku sendiri tidak sesekali mengkhianati bangsa sendiri. Jika pun mazhab serta pegangan kita berbeda, tidak mengapa kerna dalam Islam perbezaan pendapat itu tidak salah malah melahirkan hikmah kepada masyarakat.

Masing-masing bebas untuk berpegang kepada tali sendiri namun kesepakatan sesama insan jangan diketepikan. Baru bisa melahirkan masyarakat yang bertamadun. 'Akhlakul Karimah', sikap-sikap yang mulia. Kerna masalah perbezaan pendapat ini walau di debat macam mana sekali pun, jika ia sudah menjadi pegangan, kamu akan tetap merasakan kamu betul.

Masalahnya ialah, tanggapan tentang pegangan kita sahaja yang benar dan pegangan orang lain tidak. Mana boleh begitu, biarlah kita bertentang pendapat, tapi jangan anggap kita sahaja yang betul. Baik kita kongsi agar yang sana faham, yang sini tahu.

Menyentuh isu ketuanan melayu memperlihatkan kepada bangsa lain bahawasanya orang Melayu ini rasis. Biasalah prejudis kecil-kecilan, semua bangsa akan ada sedikit perasaan sebegitu. Malah antara melayu sendiri sekali pun wujud, semangat kenegerian.

Kira macam era Tupac gaduh dengan Biggie la, ada 'east side and west side', padahal sesama bangsa tu! Apatah lagi kalau dengan bangsa yang lain, mesti lagi teruk.

Mari kita ramai-ramai menghargai, menghargai apa yang kita ada.

Aku percaya kamu tidak sanggup bertempur dengan Pak Munawe bersama bala tenteranya. Pak Munawe ada jurus parang terbang tau!!!

Wednesday, November 26, 2008

Libasan ekor pari FEB 2009


Update terkini mengenai perkembangan Muay bolehlah didapati di laman blog KawanBoxx. Sudah semestinya tahun depan menjanjikan debaran yang bisa menggelegakkan adrenalin dalam badan.

Febuari 2009!!!Nantikan ekor pari melibas pangkal peha anda!

Tuesday, November 25, 2008

Kepada peminat keris melayu, jangan lupa singgah ke Muzium Shah Alam untuk menyaksikan sendiri senjata magis yang diberi sifat keramat oleh bangsa melayu. Terdapat kepelbagaian jenis keris yang datang dari kepulauan nusantara.

Ada acara lelong sekali!!!

Kebetulan ketika sedang menghirup Limau ais petang semalam aku didatangi seorang tua. Seorang tua berserban yang menghadiahi aku sebuah Yasin. Menurut mesej yang dihantar oleh mesin radarku, kedatangan seorang tua itu hanyalah sekadar perziarahan biasa. Sekadar menyampaikan atau 'tabligh'.

Aku sekadar tunduk sambil tekun mendengar. Seorang tua berkata, 'Sebagai seorang Islam kita jangan lupa mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran, sebuah kitab suci yang nyata bukan ciptaan sebarangan malah diturunkan oleh pencipta buat panduan sekalian manusia, jadikan amalan membaca surah Yasin sebagai suatu kebiasaan'.

Surah Yasin ini besar sekali fadhilatnya, apa anak masih ingat suatu kejadian ketika Rasullullah dikepung oleh pihak musuh? Seorang tua bertanya..

Aku menggeleng kepala.

Lalu lebih kurang seorang tua berkata, cuba anak belek surah Yasin ini dari ayat 1 hingga 16..Fahami maksudnya betul-betul!!!

Insya'ALLAH pakcik!! ujarku.

'Ayat inilah yang dibaca Rasullullah ketika itu sambil bertawakal lalu dengan izin Allah, semua musuh yang mengepungi Rasullullah tertidur lena'!Balas seorang tua.

Akhir sekali, seorang tua sempat berpesan sebelum beredar, 'sampaikanlah kepada manusia itu walaupun sekadar satu ayat'!!!

Aku hanya terdiam sambil berfikir dalam. Terima kasih seorang tua!!!

Monday, November 24, 2008

Aku masih menerawang, terawang-awang, berkeinginan, berhajat dan berkehendak ke atas segala macam impian yang terangsang hasil suntikan beberapa botol tonik bercap inspirasi. Salah satunya, ialah keinginan gua untuk kembali cergas seperti dahulu.

Selama 4 tahun gua bertapa semenjak keting gua patah, kini gua terinspirasi kembali. Harapnya berterusan, beristiqomah lagi berwasatiah.

Walau apa pun, jika rajin sila kunjungi URL ini,
http://www.youtube.com/watch?v=KpjBLH14y_I

Walaupun pengambaran ini dibuat ketika gua sedang 'off season', tetapi gua masih berpuas hati, berpuas hati disini ialah bagaimana gua rasa berjaya menterjemahkan aspirasi serta visi gua melalui medium ini. Puas kerna gua memberi cermin diri yang sebenar.

Dalam hati gua berkata, inilah gua! Inilah yang gua mahu!!

Maaf, gua tidak arif bermain dengan 'shot-shot' yang menarik, sekadar memenuhi tuntutan sebuah subjek.

Gua juga tidak sekacak Rosyam Nor!

Pada mulanya gua malu untuk berkongsi mengenai projek video youtube ini kepada umum, memandangkan sudah ramai juga yang menyaksikan 'kepoyoan' gua disitu, jadi gua beralah kepada kehendak emosi gua.

Orang putih kata, malu tapi mahu!!

Walau bagaimanapun, jangan jadikan kekurangan prasarana, peralatan atau juga kemudahan sukan sebagai alasan untuk kita tidak bersenam. Semuanya adalah mengenai keinginan serta kekuatan motivasi sendiri. Wallahua'lam Bissawab!

Wednesday, November 19, 2008

'Result' malam finale!

Firdaus Janai (BoxxWarriors) vs Idham Daud (Kelantan)
- Win by point

Kamaruddin (M-150) vs David William (Australia)
- Draw

Barbod (Iran) vs Alif (M-150)
- Win by KO (round 2)

Bedu (BoxxWarriors) vs Kenneth Carter (USA)
- Win by TKO (round 2)

Oleg Fillipov (Russia) vs Max 11 (M-150)
- Win by point

Abbas Ahmadi (BoxxWarriors) vs Kudin Anak Jerung (Kelantan)
- Win by point
- Win WMC Asia belt

Berneung Sakhomsin (Thailand) vs Karim Geliga Merah (Terengganu)
- Win by KO (round 2)


Gua ke Dewan Jubli Perak malam itu bagi menyaksikan KELANTAN SUPERFIGHT iaitu kejohanan Tomoi antarabangsa Kelantan. Tahniah kepada BOXXEVENT dan bala krew KAWANBOXX serta yang lainnya kerna tanpa mereka acara bertaraf antarabangsa ini tidak mungkin terlaksana.

Kejohanan yang begitu antarabangsa sekali!

Gua tidak sedap berdiri malam itu bila menyaksikan para peninju bertarung dan secara keseluruhannya pertarungan malam finale itu begitu menghiburkan. Terima kasih banyak-banyak kepada Abang Mus yang menjemput gua datang pada malam itu sekaligus dapat juga memberi sumbangan yang kecil kepada perkembangan Muay di Malaysia.

Perlawanan antara BEDU (BoxxWorriors) dan Kenneth Carter (USA) sangat menarik perhatian gua. Persembahan Wai Kru yang begitu panjang lagi simbolik antara 2 Nakk Muay. Namun harapan untuk menyaksikan pertarungan berlangsung lama tidak kesampaian. Gua mengharap sesuatu yang lebih dari pertarungan itu.

Abbas Ahmadi (BoxxWorriors) menepati ramalan ramai selaku penyandang juara WMC menumpaskan peninju tempatan Kudin Anak Jerung (Kelantan). Sebenarnya Abbas berada satu tahap yang lebih tinggi daripada Kudin, namun mungkin keadaan dewan yang begitu panas memberi kesan kepada persembahan Abbas, apatah lagi Kudin mendapat sokongan tidak berbelah bagi dari 'crowd' tempatan.

Gua tahu kamu boleh membayangkan bagaimana riuhnya 'crowd' di Kelantan.

Gua mengharapkan lebih lagi dari Boxxevent, semoga pada masa-masa akan datang kita berpeluang menyaksikan kejohanan Tomoi yang lebih antarabangsa berserta 'venue' yang antarabangsa juga.

Dewan badminton tidak sesuai kiranya dijadikan sebagai gelanggang tarung, ditambah lagi dengan cahaya 'spotlight' yang terang dan berhaba menyukarkan gerakan para peninju. Oleh itu, sebagai peminat Muay, kamu diluar sana juga boleh memberi sumbangan. Kehadiran kamu boleh menukar atmosfera Muay di Malaysia.

Memang puas hati dan sangat yang sangat terbaik!!!

Melihat libasan ke pangkal peha oleh para Nakk Muay, 7 keturunan pun perit lebam libasan ekor pari itu tidak hilang. Apa pun, secara peribadi gua sangat berpuas hati. Kepada peminat diluar sana, ingin mengetahui lebih lanjut segala aktiviti Muay di Malaysia, sila layari blog rasmi BoxxTomoi yang terdapat di ruangan blog gua. Ada je kat sebelah tu!

Monday, November 17, 2008

Update terkini yang boleh kamu dapati dari laman blog kawanboxx, ayam tambatan boxxworrior iaitu Chaowalit telah menang dengan kiraan K.O menumpaskan Salatan Salsaloon. Para peminat Muay diluar sana juga berpeluang menyaksikan para peninju professional bertarung dengan selalu mengunjungi laman blog kawanboxx.

Peluang menyaksikan peninju berstatus pro bukan senang diraih. Cuma memerlukan sokongan dari kalangan peminat-peminat Muay.Tidak susah pun, hanya klik laman blog kawanboxx di sebelah untuk mengetahui 'event-event' terbaru. Siapa tahu, tidak mustahil Buakaw Por Pramuk akan dibawa datang ke Malaysia sedikit masa nanti.

Seperti yang dirancang, petang ini kurang lebih jam 6 petang gua ada sesi melepak bersama Brader Mus, empunya boxxtomoi.blogspot.com, blog rasmi bagi kawan-kawanboxx di Ridel Hotel, Kota Bharu.

Suatu perkara yang gua tunggu sejak sekian lama. Maklumlah sebelum ini gua tiada peruntukan masa yang sesuai sekaligus melumpuhkan keinginan gua untuk bersantai dan menambah ilmu bersama mereka-mereka yang sehobi dengan gua.

Jangan lupa, KELANTAN SUPERFIGHT malam ini! Kepada yang sempat jangan lupa singgah ye..ikut gua kita ronda-ronda!

Saturday, November 15, 2008

Akibat perubahan corak pemakanan yang begitu drastik sekali semenjak setahun dua ini, gua mengalami masalah kebuncitan yang agak kronik sekali. Apatah lagi berat badan terkini gua sudah pun mencecah 70 kg. Dalam 2 tahun ini, keinginan perut gua berjaya ditunduki nafsu makan yang menggila. Penambahan sebanyak 10 kg sepanjang 2 tahun.

Suatu igauan ngeri buat gua.

Sebenarnya, permasalahan pokok bagi mereka-mereka yang aktif bersukan ialah apabila mereka berhenti secara mendadak. Kemungkinan untuk sistem badan mengasimilasi sistem yang baru amat sukar. Atas sebab itu, kelembapan sistem otak menafsir perubahan sistem dalam badan menyebabkan tubuh mengalami keperluan yang berlebihan.

Seseorang ahli sukan itu biasanya akan makan mengikut keperluan yang diperlukan oleh badan. Maksudnya ahli sukan akan makan sebagai suatu mekanisme bagi mengganti balik tenaga yang telah digunakan. Ini adalah sesuatu yang fitrah bagi para atlit, kerna sistem badan akan memberi reaksi tertentu akibat desakan tertentu.

Namun, adalah menyedihkan apabila sistem badan yang sudah sekian lama berada pada kedudukan yang selesa gagal disesuaikan dengan corak kehidupan badan yang baru. Kehendak makan tidak seiring dengan keperluan badan. Atas faktor ini, berat badan mula naik tanpa ada apa-apa mekanisme untuk mengawal selera makan.

Sebenarnya, gua rasa tiada satu kaedah pun yang wujud bagi mengawal keinginan nafsu supaya seiring dengan keperluan tubuh badan. Yang ada cuma disiplin serta kepercayaan yang bersifat teguh atau solid sahaja yang mampu mengawalnya. Dan kepercayaan-kepercayaan ini datang dari minda yang tegas bagi mengawal selia segala keperluan yang dikehendaki oleh sistem tubuh badan. Keberjayaan seseorang ahli sukan yang sudah bersara dalam menyatupadukan sifat kebergantungan antara sistem badan yang baru dan lama bisa mengelakkan sindrom kebuncitan itu dari berlaku.

Maka disini, hasil dari pemerhatian serta eksperimen terhadap diri sendiri, adalah jelas yang gua telah gagal menyatupadukan fitrah kebergantungan antara corak sistem yang lama dengan yang baru. Segalanya beroperasi tanpa seliaan yang rapi, proses asimilasi yang gagal. Oleh itu ketidakseiringan antara sistem tubuh yang baru dan lama terjadi. Pertembungan sistem- sistem itu menambahkan 10 kg lagi daging mampat dalam badan gua.

Gua tidak berniat untuk menjadi pakar kesihatan disini, apatah lagi teruja untuk menjadi perunding kecergasan. Segala yang tercoret disini tidak wajar dijadikan rujukan kerna responden utama bagi pemerhatian ini adalah gua sendiri. Sengaja gua sampaikan ia diruang ini sebagai suatu perkongsian tetapi tidak langsung rasanya membuka pekung didada sendiri mahu pun pekung di dada orang lain.

Segala terma yang diguna pakai untuk entri ini juga tidak boleh digunapakai sebagai rujukan kerna ia lahir atas imaginasi gua sendiri. Perhatikan imej dibawah:


Diego Maradona ketika zaman dimana sistem tubuhnya belum lagi mengalami kejutan budaya. Fit lagi la kiranya 'living legend' ni!!


Kegagalan otak menafsir perubahan sistem dalam badan maka, se'legend' Maradona pun, inilah hasilnya!. Jadi, seiringkan pemakanan dengan keperluan tubuh badan. Gantikan yang mana perlu aje!!


Entri ini lahir hasil dari reaksi spontan gua apabila gagal untuk menghadirkan diri ke TM- KEJOHANAN TOMOI ANTARABANGSA KELANTAN 2008, PIALA TENGKU MAHKOTA. Melihatkan para peninjunya yang fit dan kental belaka maka tidak hairan gua mula mengalami 'inferiority complex'. Entah bila boleh kembali kepada figura yang asal. Insya'Allah besok malam jika tiada aral, gua akan ke Dewan Jubli Perak, Kota Bharu untuk menyaksikan sendiri aksi keting bertemu keting anjuran BOXXEVENT.

Datanglah, ala murah je tiket!RM15 je...

Wednesday, November 12, 2008

Aku sedang cuba untuk berehat, keupayaan aku untuk menulis agak terbatas. Semuanya gara-gara kesan sebuah sistem kehidupan yang baru. Jika selama ini aku berpaksi kepada kiblat acuan sendiri, kini aku terkurung dibawah satu naungan yang lain. Naungan yang membataskan pergerakan aku.

Aku jadi malas bak Platipus kekenyangan.

Selain itu, akibat sudah lama otakku tidak di 'tune up' , maka ketelitiannya untuk menafsir segala macam informasi seakan lembab sedikit, apa lagi dengan kebanjiran maklumat yang berkapasiti tinggi masuk tanpa diundang terus memasuki sistem minda yang seakan bertali arus, tidak henti.

Barack Obama, peralihan kuasa politik Melayu, nasi kandar dan roti canai turun harga, bukan Melayu kepingin jadi Perdana Menteri, sajak kematian, hukuman mati Amrozi, Mukhlas dan Imam Samudera. Maka jelas sekali akibat ketidakupayaan sistem otak gua yang rendah menerima informasi berskala tinggi begini mengakibatkan otak gua 'lagging'. Dunia sekarang semakin meriah. Penuh warna warni.

Jika 'lagging', nak tunggu 'loading' balik lama tau!!

Oleh itu, gua memilih untuk melawat laman web ini, http://www.yearbookyourself.com. Jangan malu dan segan untuk meng'copy-paste' kan link tersebut. Hasilnya seperti yang akan kamu lihat dibawah. Walaupun sudah lapuk, tapi masih mampu mewarnakan hati yang gundah ini.


Wajah 'uncle' gua tahun 1984, gambar ketika mula-mula dia pergi 'audition' konon nak berduet dengan Uji Rashid.


Yang ni pula imej makcik gua, tahun 1982. Manja orangnya!


Otai kat bawah ni pula imej 'atok' gua ketika zaman dia belia tahun 1968. Dikatakan pernah ada 'affair' dengan Siput Srawak.

Thursday, November 6, 2008



Buku takdir menyaksikan kami akhirnya berubah haluan. Dengan itu, secara tidak rasminya bakal meninggalkan memori manis di gugusan Puncak Perdana. Setelah 3 penggal berjemaah memerah keringat, ketawa bersama, susah bersama, jaga bersama, lena bersama, makan bersama, akhirnya detik yang di perceritakan sekian lama hadir jua.

Pelbagai keluh kesah rakan-rakan kedengaran sehari dua ini. Rata-rata, majoriti sependapat sukar sekali untuk melangkah keluar, apatah lagi meninggalkan puncak. Ya, sememangnya kami menuju puncak. Puncak yang ini sudah habis kiranya diterokai, sudah gondol, tidak seperti 3 penggal yang lepas sewaktu mula-mula kaki ini memijak tanahnya.

Oleh yang demikian, maka sudah pasti ada puncak lain yang lebih tinggi menunggu diluar sana. Masa berlalu begitu pantas bak sang belut mencelah di celahan rumput. Bak sang belut? (emiiiiiii) Rakus membaham usia bak sang singa lapar menerkam mangsanya.

Aku faham benar perasaan begini. Aku tidak hairan kerna sudah terbiasa. Perasaan yang bercampur baur. Jika memori yang lalu disingkap, pastinya ia akan disertai hilai tawa.

Bak kata 'cik Jem', 'we are the last batch from Puncak Perdana!' Begitu tegas sekali nadanya.

Sebagaimana rakan-rakan yang lain, aku juga memilih untuk keluar setidak-tidaknya ahad ini. Bak kata Pakwad, 'lepas ni dah tak boleh nak jumpa hang!!' Bunyinya mungkin kelakar, tapi realiti yang pasti itulah kenyataannya kecualilah ia tidak tertulis pada skrip yang Maha Pencipta.

Menurut data yang tercongak pada skrin sistem penaakulanku, ada kalangan rakan-rakanku yang berpotensi untuk pergi lebih jauh. Dengan potensi yang ada, maka posisi dan posesi itu tidak sukar untuk digapai. Apatah lagi industri media di Malaysia semakin pesat berkembang. Pengaruh politik dalam negara menyumbang ke arah keterbukaan media ini.

Terbuka tapi tidak bebas, kebebasan yang terkawal. Jangan lupa yang itu.

Aku tidak menggolongkan perpisahan ini sebagai sesuatu unsur yang sedih, malah, ia sesuatu yang manis sekali untuk dikenang. Malaysia ini tidaklah sebesar mana, pusing-pusing pasti jumpa. Bila terjumpa usah sombong, maka rajin-rajinkan kepala untuk menoleh ke kiri dan ke kanan. Kita bantu sesama kita.

Dikala kita naik tahta, kita bawa yang lainnya bersama. Ingat konsep zakat? Konsep yang selama ini kurang di sedari tetapi membawa signifikan yang sangat besar dalam merapatkan jurang antara yang kaya dan miskin. Itu pun jika ia benar-benar di implimentasikan.

Perpisahan itu memang tidak boleh dielak, kerna setiap pertemuan itu pasti akan ada perpisahan. Yang pasti kita tidak keseorangan. Sesiapa yang berasa kesunyian, itu bukan noktah sebuah kehidupan. Hakikatnya manusia itu memang bersendiri.

Di Alam Barzah?

Di Padang Masyar?

Hatta Adam bersendirian lama sebelum terciptanya Hawa.

Monday, November 3, 2008

Seperti yang dijanjikan pada entri sebelumnya

Ada moleknya andai aku bercerita mengikut turutan kronologi, senang untuk kamu membaca, malah senang juga untuk aku menulis. Skripnya bermula begini;

Untuk berada lebih dekat dengan aku, Nurul dengan senang hati memohon untuk 'transfer' dari Maybank cawangan PJ Jalan 222 ke Maybank (Main Branch) seksyen 14 Shah Alam. Menurut surat pelepasan untuk 'transfer', Nurul dikehendaki segera melapor diri ke tempat kerja yang baru pada hari Isnin berikutnya. Disebabkan pelepasan untuk bertukar ke Shah Alam itu berlaku dengan pantas, maka Nurul tidak sempat untuk mencari rumah sewa dikawasan yang berdekatan dengan tempat kerja. Persediaan untuk berpindah ke Shah Alam dilakukan dengan kadar segera tanpa persediaan yang rapi. Maka, rumah teres di seksyen 20 di jadikan pilihan sementara sebelum mencari rumah sewa yang lebih dekat dengan tempat kerja yang baru.


1/11/2008 (sabtu)

Kira-kira jam 3 petang, aku ke PJ, Jalan 222 Impian Baiduri untuk memunggah barang-barang Nurul ke seksyen 20 Shah Alam. Kira-kira jam 8 malam, semua keperluan sudah siap dipunggah ke rumah baru. Aku langsung tidak masuk ke rumah, cuma mengangkat barang dalam kategori berat sampai ke pintu rumah sahaja.

Selepas itu kami keluar untuk 'dinner' sambil mencari kedai untuk 'duplicate' kunci rumah. Malam itu, kami 'dinner' bersama rakan-rakan gua yang lain kerna kebetulan sebelum itu kereta 'Pawad' mengalami masalah sekitar seksyen 3. Setelah operasi 'jump start' berjaya dilakukan ke atas Satria 1.6 Pawad, kami 'dinner' di seksyen 7. Kira-kira jam 11, aku menghantar Nurul pulang ke rumah baru.

Aku langsung tidak singgah.


2/11/2008 (ahad)

Kira-kira jam 2.30 petang, aku menjemput Nurul dirumah. Kami ke Thomas and Guy di SACC Mall Shah Alam untuk trim rambut. Bukan rambut aku tapi rambut Nurul. Kepenatan memunggah barang masih terasa, kami berkeputusan untuk terus pulang. Apa lagi ketika itu, Nurul dan rakan serumahnya yang lain sepakat untuk masak 'Laksa Penang' sebagai santapan makan malam.

Kami sampai dirumah ketika Maghrib. Aku tidak terus pulang ke Puncak Perdana ketika itu memandangkan dirumah Nurul ketika itu tiada sesiapa. Aku ke surau berdekatan untuk solat Maghrib. Kebetulan lokasi surau tidak berada jauh dari rumah. Setelah solat, rakan serumah Nurul masih tidak pulang.

Aku masih setia menanti diluar menemani Nurul.

Setelah pasti yang rencana untuk masak Laksa Penang 'cancel', aku dan Nurul ke kedai makan berdekatan. Tidak sedap hati untuk terus pulang malah segan untuk berdua walau pun duduk diluar rumah, apatah lagi kejiranan disitu merupakan kediaman keluarga malah surau pun seberang jalan sahaja.Melihatkan jam ditangan sudah hampir menginjak pukul 11 malam, aku menghantar Nurul pulang ke rumah.

Tetapi, rakan-rakannya masih belum pulang.

Aku meminta izin kepada Nurul untuk tumpang ke tandas, sementara Nurul pula menunggu disebelah luar. Jiran-jiran sebelah dan depan rumah juga turut menjadi saksi, itu pun kalau mereka mengambil tahu. Tidak sampai 3 minit pun aku ditandas, secara pantas. Selain 'shishi', aku hanya membersihkan muka.

Aku dan Nurul hanya duduk berkerusi diluar sahaja selepas itu. Diluar, kami bicara perihal masa depan. Nurul pula tidak letih cuba mengorek sebanyak rahsia daripada aku, pelbagai soalan pelik yang dia ajukan. Aku seorang yang misteri katanya, sudahlah misteri, serius pula. Aku hanya mengukir senyuman sambil mata menyaksikan gelagat remaja dan kanak-kanak bermain bola didepan mata.

Tidak lama selepas itu, kelibat rakan-rakan Nurul pun muncul didepan mata. Lalu gua minta izin untuk pulang. Dalam hati, aku sangat tidak sabar untuk sampai ke rumah. Aku berniat untuk menjelaskan hutang tidur yang tertunggak sekian lama. Kira-kira jam 11.45 malam, aku sampai ke Puncak Perdana. Aku 'parking' berdekatan 'bustop' pada awalnya. Sesampai ke pintu pagar, aku disambut manja oleh 'uncle pengawal' dan 'pak berahim'.

Aku : Assalamualaikum pak berahim! ujarku mesra..

Pak berahim: Waalaikumsalam!!haa, awak 'parking' kereta dekat mana? soal pak berahim..

Aku : Dekat 'bustop' tu pak berahim!kenapa pak berahim? tanyaku kehairanan..

Pak Berahim: Bawa masuk kereta awak, bahaya nanti hilang kereta letak disitu, ujarnya..

Aku : Boleh ke pak berahim? soalku kehairanan, lalu aku bertanya lagi, 'lagi pun saya tak ada sticker', kang nanti saya kena saman, tambahku lagi.

Pak Berahim: Tak siapa nak saman awak, saya bagi!! Tegas pak berahim!!

Aku : Thank you Pak Berahim!!!


Aku dengan rasa ketidaksedapan hati membawa masuk kereta. Aku tidak sedap hati sebenarnya malam itu memandangkan pak Berahim 'sporting' tidak seperti biasa. Entah mengapa, aku pun kurang periksa. Aku masuk sopan sambil mengucapkan salam kepada 'pak Berahim'. Suspen juga, tutur hati aku.


3/11/2008

Untuk dijadikan cerita, kira-kira 2.45 pagi ketika aku sedang diperbaringan di katil Hakim di Puncak Perdana , aku mendapat 'emergency call' dari Nurul yang mengatakan rumahnya dipecah masuk penyamun. Aku yang ketika itu 'mamai' berasa terkejut. Namun aku tidak kalut, sebaliknya menenangkan Nurul yang sedang menangis ketakutan.

Mujur, penyamun tidak memasuki bilik Nurul. Aku bersyukur untuk itu. Sebaliknya, bilik rakannya disebelah yang menjadi mangsa. Aku masih samar tentang apa yang hilang cuma yang aku tahu daripada Nurul, dua orang rakannya sempat melihat kelibat penyamun itu.

Ketika jam hampir meniti pukul 4 pagi, aku keluar juga dengan kebenaran 'uncle pengawal'.

Aku risau tentang Nurul yang tinggal sendirian, rakan-rakan serumahnya pula pergi membuat laporan polis tentang kejadian tersebut. Dipercayai, rakannya meronda ke seksyen 26. Penjejakan menerusi 'friend finder service' mengatakan sang penyamun di seksyen 26. Berita baik!

Namun, sesampai aku ke rumah Nurul, rakan-rakannya sudah pun pulang. Aku dengan serius masuk ke rumah bertanyakan hal dan peristiwa yang terjadi. Semuanya senyap tidak bersuara. Aku kepelikan seketika. Aku memanggil Nurul keluar untuk mendapatkan cerita yang terperinci.

Nurul yang ketakutan tidak henti menggigil takut. Tanganku digenggam erat. Aku meyakinkannya untuk masuk tidur, ketika itu aku yakin tiada apa yang akan berlaku. Aku menasihatkannya supaya memperbanyakkan doa, baca surah 3 qul, membaca ayatul Qursi dan solawat.

Lagi pula jam ditangan sudah hampir subuh, jadi secara logiknya penyamun itu tidak akan berpatah balik. Selepas itu aku berpatah balik ke Puncak Perdana. Dalam perjalanan pulang, Nurul meminta tolong supaya aku menghantarnya ke tempat kerja pada keesokan paginya. Memandangkan hari itu bakal menjadi hari pertama dia berkerja di Shah Alam, maka aku pun turut teruja untuk menemaninya. .

Aku tidak habis-habis mengucapkan rasa syukur. Tiba-tiba teringat akan pesanan aku terhadapnya pada hari pertama dia tidur dirumah baru. Aku berpesan supaya di azankan kamar tidurnya. Aku amat percaya pada konsep doa dan tawakal. Memadailah jika laungan azan itu hanya didengari telinga sendiri. Selain itu, aku memesan supaya kamar tidur dibacakan dengan Ayatul Qursi dan bacaan dari Surah 3 Qul. Insya'Allah, dengan izin Tuhan, doa-doa ini bisa memayungi kita, selain bertindak sebagai pendinding paling mujarab.

Aku beberapa kali menegaskan kepada Nurul, jangan diabaikan perkara ini. Ia mungkin nampak remeh, namun signifikannya amat besar sekali. Bacaan ayat-ayat suci ini bukan sahaja melindungi kita dari bisikan Iblis malah kita turut terlindung dari segala niat keji dan sifat jahat manusia. Aku bersyukur lagi kerna, walau pun penyamun itu memecah masuk menerusi pintu dapur, bilik Nurul langsung tidak terusik walau pun biliknya berada paling dekat dengan dapur malah pintu biliknya juga tidak berkunci.


3/11/2008 (isnin)

Aku bergerak menuju ke rumah Nurul pada jam 7.15 pagi. Sesampainya dirumah Nurul, kelihatan sebuah kereta peronda Polis jenis Waja 'parking' bersebelahan kereta aku. Ketika itu, aku masih tidak tahu menahu hal yang sebenar. Aku bersalaman dengan pegawai penyiasat iaitu Sarjan Rahman lalu beliau masuk ke rumah. Aku yang menanti Nurul diluar turut dipanggil masuk oleh Sarjan Rahman.

Sejejaknya kakiku ke rumah Nurul, barulah aku sedar yang aku adalah SUSPEK UTAMA kejadian pecah rumah itu. Nurul yang terpinga-pinga sambil kesedihan terkejut sekali, tidak menyangka barangkali mangsa menuduh aku. Aku lagi terkejut bila kedua-dua mangsa menuduh aku sebagai suspek. Setelah pengecaman dibuat dan di tanya beberapa kali oleh Sarjan Rahman kepada mangsa, maka mangsa memberi pengecaman secara 100% yang pencuri itu adalah aku.

Aku yang tidak tahu menahu menafikan sekeras-kerasnya pertuduhan tersebut. Maka berlaku perkelahian mulut disitu dan percayalah, jika tidak kerana Sarjan Rahman, kedua-dua mangsa hampir aku terkam. Beberapa keterangan diberikan dan aku memberi kerjasama kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan.

Sementara itu, kedua-dua mangsa masih tidak berpuas hati terhadap aku. Mangsa tidak habis-habis memaksa aku mengaku dihadapan Sarjan Rahman. Mereka kelihatan yakin dan pasti bahawasanya lembaga penyamun yang memecah masuk sekitar jam 2.45 pagi itu adalah aku berdasarkan kelibat fizikal dan riak wajah aku.

BULLSHIT!

Aku memang 'PANAS' dengan tuduhan melulu tersebut. Seolah-olah memang aku yang bersalah, namun memikirkan mangsa merupakan lelaki 'wannabe' , aku cuba untuk rasional. Sepengkid-pengkid mangsa pun, mereka tetap 'bertetek', aku hampir tidak boleh melakukan apa-apa, apa lagi Sarjan Rahman sebesar manusia itu berada disebelah aku. Aku dibawa ke belakang rumah oleh Sarjan Rahman untuk melihat pintu tempat penyamun 'DURJANA' itu pecah masuk.


Alasan pertuduhan pecah rumah terhadap aku;

Pertama: Aku dipercayai masuk ke rumah itu sekian-sekian waktu pada malam hari untuk buang air kecil. Aku didakwa oleh mangsa sempat nampak kunci pintu yang masih berada ditombol pintu. Pengesahan ini hasil daripada keterangan Nurul yang mengesahkan aku ada memasuki rumah untuk ke tandas.

Kedua : Penyamun didapati hanya masuk ke bilik mangsa, namun bilik Nurul terselamat. Walhal, bilik Nurul terletak paling dekat dengan pintu dapur. Hubungan kekasih antara aku dan Nurul dijadikan alasan mengapa bilik Nurul tidak dimasuki terlebih dahulu walaupun bilik Nurul juga tidak berkunci.

Ketiga : Pertuduhan paling berat sekali iaitu mangsa didapati mengecam 100% bahawasanya pencuri itu adalah aku berdasarkan kelibat fizikal serta riak wajah yang dikatakan ganas ini.


Atas sebab itu aku yang tidak tahu menahu ini dikehendaki segera ke Balai Polis Seksyen 10 Shah Alam untuk siasatan lanjut. Dengan segera aku ke Balai Polis seksyen 10 dengan membawa bersama rakan-rakan sebagai 'alibi' aku.

Aku sebetulnya berasa malu dengan pertuduhan begini. Kerna secara tidak langsung mencabar maruah aku. Jika aku dikatakan sebagai suspek, aku tidak kisah malah bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis. Tapi malangnya, mangsa tidak melayani aku sebagai suspek tetapi berlagak yakin seolah-olah aku yang bersalah. Hukuman dijatuhkan sebelum siasatan habis dibuat.

Walaupun begitu, aku juga terpaksa bertindak serasional mungkin. Lagi pula Sarjan Rahman dan sahabatku Inspektor Azrin beberapa kali menasihatiku agar tidak tersilap langkah dengan membuat perkara yang bukan-bukan. Aku juga memahami keadaan mangsa, sudah tentu mereka yang menjadi mangsa akan bertindak sedemikian. Aku hanya bercerita dari perpektif aku sebagai mangsa keadaan. Sebagai yang tertuduh, aku berasa dizalimi.

Jika benar aku yang menyamun, siapa pula yang tidur dikatil Hakim. 100% pengakuan mangsa yang melihat penyamun itu membuatkan aku tertanya-tanya, adakah dakwaan ini bersandarkan akal yang waras, atau mangsa bertindak mengikut emosi. Atau juga penyamun itu memang seiras dengan aku.

Lembu punya susu, sapi yang dapat nama.

Hasil siasatan pihak polis, aku didapati tiada kena mengena dengan dakwaan ini memandangkan aku punya 'alibi'. Terbukti bahawa aku berada di Puncak Perdana ketika kejadian berlaku. Walau bagaimana pun, yang menuduh nampaknya masih tidak berpuas hati. Mangsa masih lagi ragu dengan segala bukti dan 'alibi' yang aku ada. Aku memang punya 'alibi', tetapi mangsa menegaskan tidak semestinya aku tidak melakukan perbuatan itu.

Alasannya, aku bisa saja berpakat dengan rakan-rakanku sekalian. Sudah tentu rakan-rakan akan membantu. Sekarang, aku fikir tiada gunanya aku cuba berlagak baik. Mangsa kelihatannya masih tetap dengan pendirian mereka. Siasatan masih berjalan. Mangsa sehingga kini khabarnya mencuba kaedah alternatif pula. Aku tidak gentar langsung, kerna pada aku, yang benar tetap benar. Walaupun aku tercabar kerna terasa seperti ego serta maruahku dicalar.

Setidak-tidaknya buat masa kini Nurul sentiasa menemani. Aku tidak terlalu memikirkan perihal pertuduhan tersebut. Aku hanya risaukan dia. Setidak-tidaknya Nurul sanggup mempertahankan aku. Kini, seharian aku tidak tenang memikirkan keadaannya. Lagi pula, kami masing-masingnya tidak punya sesiapa disini. Mahu atau tidak, aku wajib untuk bersamanya walau perit mana sekalipun kondisi ketika ini. Ternyata, dia memang setabah aku. Itu sudah cukup untuk membantu aku tika ini.

Aku hanya mengambil sikap tidak ambil peduli. Kalau ikutkan, perkaranya tidaklah sebesar mana. Pihak menuduh masih tidak berpuas hati. Aku hanya memerhati, menjaga tingkah. Malu memanglah malu, satu kejiranan melihat aku bersama Polis ketika itu.

Secara kebetulan;

  • Muka penyamun dikatakan seiras denganku
  • Aku pergi ke tandas
  • Aku berada pada waktu yang salah
  • Penyamun tidak mencerobohi bilik Nurul

Yang kelakarnya;

  • Aku sedang tidur ketika kejadian
  • Hasil siasatan mendapati penyamun tidak masuk ke rumah menggunakan kunci, sebaliknya memecah tombol pintu.
  • Aku ada kembar! Siapa agaknya?
  • Terdengar jeritan 'PENCURIIIII!!!!' Nurul segera menelefon aku, aku menjawab telefon dengan tenang malah Hakim turut berada disebelah. Kalau aku yang menyamun sudah semestinya aku tidak se 'cool' itu malah semestinya aku tercungap-cungap.
  • Kira-kira 45 minit sebelum aku tidur, aku sempat menghantar komen di Blog aku sendiri, membalas pertanyaan rakan blogger iaitu 'cha'. Larat pula aku ke seksyen 20 semata-mata untuk menyamun barang yang tidak seberapa itu. Baik aku ke Bukit Jelutong menyamun rumah Prof Razak, atau pun mencopet 'dopod' Adi.
  • Nurul menjadi detektif Conan pada suatu malam, ternyata keadaan bilik langsung sangat gelap. Jika lampu handphone ternyala sekali pun, tidak mungkin mangsa nampak aku dengan jelas.

Secara konklusinya, selain memastikan pintu, pagar dan tingkap rumah terkatup rapat, pastikan juga segala kemungkinan-kemungkinan yang bisa merisikokan keselamatan rumah anda. Jangan lupa buka lampu. Jangan bagi sesiapa masuk tandas. Lebih-lebih lagi jika orang itu tidak dikenali. Nanti tidak pasal-pasal, ada yang teraniaya. Sementara itu, jangan lupa berdoa. Doa merupakan pagar bagi manusia. Memang nampak remeh, tetapi signifikannya besar sekali. Kadang-kadang Tuhan itu membantu manusia berlainan cara. Sesuatu yang kita tidak nampak. Manusia merupakan makhluk yang sukar dijangka hatinya, manakala Tuhan merupakan satu-satunya tempat bagi manusia mengadu dan juga berkuasa membolak balikkan hati manusia. Jika ada yang berniat serong, insya'Allah, Tuhan itu bisa mengalihkan niatnya ke tempat lain. Tuhan itu Maha Pelembut, Ya Latif, maka apa lagi manusia? Wallahua'lam Bissawab.



Imej seorang yang dikatakan penyamun, jika kamu ternampak pemuda ini berkeliaran dimana-mana, telefon Polis, TANGKAP DIA BUAT SATE!!!Sekurang-kurangnya penyamun ini punya visi dan misi. Tidak hanya berbakat menyamun, malah suka berblog juga.


Semoga kamu mendapat iktibar, kadang-kadang kita sudah cukup berhati-hati, namun itu masih tidak mencukupi. Ternyata, Tuhan memang sedang berbicara denganku. Sehingga kini aku pasti si mangsa sendiri tahu penyamun itu bukan aku. Intuisi aku kuat tentang itu. Niat sebenar hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kepastian menjangkau 100% +++ memelikkan aku. Maka, sebagai manusia kita hanya mampu bersangka baik sahaja sesama manusia.

Sunday, November 2, 2008

Hazihi Fitnah!!!!

Gua punya sesuatu untuk dikongsi bersama. Namun, ketiadaan rasional akal serta keadaan emosi yang diterajui sifat amarah ketika ini menidakkan keinginan gua untuk menulis panjang disini.

Sabar, ada sesuatu untuk kamu semua. Jika Indonesia punya filem hebat seperti Ayat-Ayat cinta, gua juga punya filem versi sendiri yang tidak kurang juga sadisnya.

Apa yang bakal gua ceritakan kemudian nanti, merupakan kisah benar. Jika itu gayanya Tuhan berbicara dengan gua, maka gua bersyukur atas banyak perkara.

Sesungguhnya, perbuatan fitnah itu lebih dasyat daripada membunuh! Gua tidur dulu barang sejam dua, bila rasional gua kembali nanti, gua sambung sketsa yang gua beriya cerita tadi.

Mungkin ada sesuatu yang boleh kamu pelajari.